Monday, May 18, 2009

Takutkan celaan manusia?..


Kebanyakan manusia menjadi binasa kerana takutkan celaan dan sukkan pujian seorang manusia. Oleh sebab itu, gerak geri mereka seperti dikawal supaya menepati semua kemahuan atau citarasa manusia lainnya kerana mengharapkan pujian dan takutkan celaan. Hal ini sebenarnya termasuk dalam hal-hal yang membinasakan dan perlu ditangani segera.

Cara merawatnya adalah dengan melihat kepada sifat keistimewaan yang menjadi bahan pujian itu. Sekiranya ia benar-benar terdapat pada diri kamu, maka ia tidak terkeluar dari dua keadaan itu samada sifat tersebut sememangnya sifat tersebut patut disukai seperti ilmu dan wara’ ataupun perkara yang tidak sepatutnya disukai.

Dalam keadaan pertama – perkara yang sememangnya patut disukai-, cara merawatnya ialah dengan berwaspada dengan su’ul khatimh (kesudahan yang buruk). Sikap berwaspada dan menaruh perasaan bimbang terhadapnya akan menjadikannya tidak terlalu gembira dengan puji-pujian. Sekiranya kamu merasa gembira dengan memiliki sifat istimewa itu kerana gembira kerana mengharapkan husnul khatimah (kesudahan yang baik), kegembiraan itu hendaklah atas dasar mensyukuri limpah kurnia Allah s.w.t yang telah memberikan kepadamu ilmu dan taqwa, bukannya kerana pujian manusia.

Manakala keadaan yang kedua iaitu dipuji kerana pangkat dan hartanya, perasaan gembira dengannya adalah seperti merasa gembira dengan tumbuh-tumbuhan di bumi yang lama selepas itu akan mati kekeringan. Hanya orang yang cetek akalnya yang merasa gembira atau seronok dengan perkara tersebut. Sekiranya sifat yang menjadi bahan pujian tersebut tidak ada pada kamu, pasti dia dianggap gila jika kamu merasa seronok dengan pujian tersebut.

Kamu tidak sepatutnya merasa gembira dengan pujian bahkan sepatutnya merasa gusar dan tidak selesa sebagaimana yang telah dilakukan oleh ulama’ salaf terdahulu. Di mana mereka bukan sekadar benci dengan puji-pujian bahkan memarahi orang yang memuji.

Mengatasi masalah takut kepada celaan manusia dapat difahami secara spontan daripada cara merawat penyakit sukakan pujian kerana ia adalah sebaliknya. Secara ringkasnya, orang yang mencemuh kamu itu sama ada ia benar dan bertujuan menasihati kamu atau sebaliknya.

Jika dia benar, kamu sepatutnya merasa terhutang budi kepadanya dan janganlah marah kerana dia telah menjelaskan segala kekurangan diri kamu (untuk diperbaiki). Kalau dia tidak bertujuan untuk menasihati, ketahuilah bahawa dia sebenarnya telah melakukan jenayah terhadap agamanya sendiri dan kamu pula mendapat manfaat daripada kata-katanya itu. Hal ini kerana dia telah memberitahu suatu perkara yang tidak pernah kamu ketahui sebelum ini dan mengingatkan kamu akan kesalahan-kesalahan atau dosa yang mungkin telah kamu lupakan.

No comments: