Sunday, December 28, 2008

Salam Maal Hijrah 1430H dari arrash.Blogspot






Pengajaran di sebalik Hijrah Rasulullah s.a.w (oleh : Najib Afif Arip)


"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."

Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam keseluruhannya. Tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun hijrah buat umat Islam. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan hikmah buat perkembangan Islam itu sendiri. Peristiwa ini juga telah menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah SAW.

Antaranya keberanian Saidina Ali r.a yang sanggup menggantikan Rasullullah SAW di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah SAW. Kesanggupan Saidina Ali menempa maut di tangan orang kafir Quraisy dengan menggantikan Rasullullah di tempat tidur baginda bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.

Peristiwa pengorbanan Saidina Ali ini merupakan secebis daripada peristiwa pengorbanan para sahabat. Banyak lagi kisah pengorbananan yang telah dilakukan oleh para sahabat demi Rasulullah yang tercinta. Begitulah para sahabat nabi yang cinta mereka bukan sekadar bermain di bibir bahkan dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.

Berbicara tentang Hijrah Rasul, sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.

Persoalannya, adakah kita generasi kini menyedari hikamah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam hijrah Nabi sebagai pedoman dalam kehidupan kita? Saban tahun kita meraikan sambutan 'Maal Hijrah', namun apakah ianya merupakan sambutan semata-mata? Apakah yang kita fahami tentang hijrah? Adakah hijrah sekadar perpindahan yang berbentuk fizikal semata-mata?

Persoalan ini harus kita rungkaikan supaya hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dapat difahami dan dihayati. Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: �Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.� (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hijrah bermaksud meninggalkan larangan Allah

Daripada kenyataan ini dapatlah kita fahami bahawa hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata tetapi hijrah juga ialah perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Hijrah Rasulullah S.A.W memberi iktibar kepada kita mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadat khusus semata-mata. Lebih luas daripada itu peranan kita adalah sebagai khalifah Allah di muka bumi. Di antara tugas-tugas sebagai khalifah adalah seperti yang dijelaskan oleh Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia.

Dua perkara ini tidak mampu direalisasikan tanpa semangat jihad dalam diri kita. Jihad merupakan pengorabanan dari pelbagai aspek demi memastikan tertegaknya Islam di muka bumi ini. Melawan nafsu juga merupakan suatu jihad. Namun dalam konteks hari ini, semangat jihad sudah kian hilang di hati umat Islam. Umat Islam hari ini lebih mementingkan nafsu daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Umat Islam sesama sendiri berkelahi kerana pangkat, harta dan wanita. Adakalanya umat Islam sendiri sanggup berkomplot dengan golongan kuffar demi kepentingan tertentu. Sekiranya inilah perangai kita, apakah kita layak digelar sebagai khalifah Allah.?

Marilah kita mencontohi para sahabat yang sanggup berkorban demi kepentingan Islam. Sesungguhnya Hirah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita menyambut sambutan Maal Hijrah jika kita semakin jauh dengan Islam? Apakah ertinya kita menghayati sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan barat malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.

Seharusnya peristiwa hijrah telah mengajar kita bahawa perpaduan amat penting dalam kita membangunkan sesebuah negara. Cuba kita renungkan kembali bagaimana perpaduan yang telah terjalin anatara kaum Muhajirin dan Ansar di bawah bumbung Islam telah berjaya mambentuk khilafah Islamiyah. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyaksikan bangsa, kaum dan etnik, maka amat wajar umat Islam di Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan kasih sayang selari dengan ajaran Islam yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kepada kita komitmen Rasulullah sebagai seorang pemimpin dalam memastikan tertegaknya ummah yang beriman, bertaqwa, bersatu padu dan hormat menghormati, baik sesama mereka mahu pun orang bukan muslim. Inilah sikap yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin.

Seorang pemimpin tidak sekadar membangunkan masyarakatnya dari sudut fizikal dan material semata-mata bahkan turut membangunkan jiwa masyarakatnya dengan mendekatkan mereka kepad Allah SWT. Sejarah telah mengajarkan kepada kita bagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu di saat kegemilangan tamadun Islam adalah pemimpin yang menghormati golongan ulama dan sentiasa meminta nasihat daripada mereka sama ada urusan negara mahupun peribadi. Hal ini kerana golongan ulama merupakan golongan yang arif berkenaan soal agama, justeru demi memastikan pimpinan mereka tidak terkeluar dari landasan Islam, pemimpin-pemimpin tersebut sentiasa memastikan golongan ulama sentiasa di sisi mereka.

Sesungguhnya di sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi iktibar dan pengajaran yang dapat kita perolehi. Soalnya lagi sejauh mana kita benar-benar menghayati sambutan maal hijrah dalam memberikan kesan yang positif terhadap diri kita? Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang hari ini lebih baik dari semalam. Marilah sama-sama kita menjadi mereka yang beruntung.- azm

( Penulis adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Univesiti Sains Islam Malaysia (USIM) )

Wednesday, December 24, 2008

Ahlan wasahlan !!







KEMASUKAN Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato' Zahar Hashim beserta 13 orang AJK bahagian dan 28 orang Ketua Umno cawangan hari ini merupakan suatu detik yang bersejarah bagi PAS Selangor.

Kapten Zahar digantung jawatannya oleh Majlis Tertinggi Umno berikutan kelantangannya membuat teguran terhadap kepimpinan parti yang didokonginya selama 26 tahun.

Lapan bulan masa diambil untuk berbincang mengenai pro dan kontra menyertai parti pembangkang (yang sudah menjadi kerajaan di Selangor) sesama rakan-rakan Umno di PJ Selatan.

Hakikatnya bagi Zahar, Umno hari ini sudah lari daripada perjuangannya untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam. Umno sudah lari daripada landasan asal perjuangannya.

26 tahun menganggotai Umno, sebagai Ketua Bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri, banyak lagi faedah, kemudahan sebagainya telah dinikmati beliau dan rakan-rakan. Tiada maknanya lagi kepentingan material bagi beliau.

Keputusannya menyertai PAS tidak didorong sesiapa, tiada permintaan apa-apa, tiada tawaran apa-apa, katanya beliau sudah lama memikirkannya, sejak Mac 2008 lagi.

Beliau dan rakan-rakan yang menyertai PAS, hanya mahu mencari redha Allah dan berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara melalui PAS.

Walaupun mungkin kemasukan Zahar dan rakan-rakanya ke dalam PAS, tidak boleh dijadikan kayu ukur yang menyebabkan kecacatan menyeluruh kepada Umno, namun tidak mustahil ia boleh menjadi titik tolak kepada kemusnahan Umno Selangor.

Kemasukan Zahar adalah manifestasi daripada kelesuan dan kegagalan kepimpinan Umno dari peringkat nasional hingga ke peringkat negeri,

Zahar dan rakan-rakan tidak lagi yakin, Umno layak menjadi platform bagi memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa.

Kemasukan zahar membeli implikasi bahawa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan penggantinya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, adalah pemimpin yang gagal.

Gagal meyakinkan mereka untuk terus kekal dalam Umno. Abdullah gagal sebagai PM dan Presiden Umno. Najib juga gagal menampilkan diri sebagai bakal PM dan bakal Presiden yang boleh mengemudi kapal Umno.

Kemasukan Zahar juga adalah hasil daripada kelemahan kepimpinan Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai Pengerusi Umno Selangor, sebelum diambil alih oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Jika Umno Selangor pun Khir tidak mampu mengemudikannya, bagaimana beliau mampu untuk memenangi pertandingan Ketua Pemuda?

Dan jika Muhammad tidak mampu meyakinkan Umno Selangor untuk tidak berpecah atau menyertai parti lain, bagaimana Muhammad boleh meyakinkan perwakilan Umno seluruh negara untuk mengundinya ke jawatan Timbalan Presiden?

Tindakan Zahar dan rakan-rakannya ibarat membunuh dua ekor burung dengan satu busar panah sahaja.

Umno di peringkat nasional 'terpalit tahi', manakala Umno Selangor 'tersembam ke lubuk'.

Zahar dan rakan-rakannya juga menyebabkan Khir Toyo dan Muhammad Taib terpaksa 'menanggung malu' dengan rakan-rakan Umno seluruh negara kerana kegagalan kepimpinan mereka.

Kemasukan Zahar ke dalam PAS bukan perkara kecil. Ianya amat besar bagi Umno, besar bagi PAS juga.

Zahar, 13 AJK bahagian, 28 Ketua Cawangan, mereka bukan keseorangan, mereka ada pengaruh dan pengikut. 26 tahun Zahar dalam Umno, bermula dengan mengetuai bahagian Puchong, sudah tentu beliau cukup dikenali dan ramai rakan-rakan.

Sudah tentu beliau mengenali dan amat arif dengan kepimpinan Umno Selangor, malah beliau juga punyai rakan-rakan Umno dari seluruh negara.

Maka mengambil semangat Maal Hijrah pada 1 Muharram 1430 (29 Disember) ini, Zahar dan rakan-rakannya boleh mula 'berdakwah' dengan mengajak rakan-rakan yang lain sama menyertai PAS.

Bukan sekadar mengajak untuk menyedarkan mereka tentang kepincangan kepimpinan Umno sahaja, malah mengajak mereka untuk mencari redha Allah, berjuang tanpa memikirkan kepentingan diri secara individu.

Bahawasanya duduk di dalam PAS tidak menjanjikan apa-apa kepentingan atau kemewahan dunia.

Jika jawatan diperolehi, ianya adalah amanah. Jika wang ringgit diperolehi, ianya adalah untuk menjadikan kita lebih dermawan untuk membuat pelaburan di akhirat sana.

Marilah sama-sama kita berhijrah untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Ahlan Wasahlan Wa Marhaban bikum!