Sunday, May 24, 2009

Kewajiban berwasiat, bertaubat sebelum tidur



Imam Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s., ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud): "Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu aku lakukan semula. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan.

"Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba-tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain daripada-Mu.

"Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu.

"Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut."

Demikian doa dan istighfar para nabi sejak daripada Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a..w., telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.

Kini akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabiei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya, semua tuntutan naluri tabiei dan segala gerak-geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan ahirat.

Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.

Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan jadi bekalan hidup di akhirat.

Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat ada habuan bagi manusia itu.

Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.

Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi) dan bersuci serta berwuduk.

Islam bukan saja suruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca al-Quran, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.

Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.

Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.

Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus di tempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.

Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi s.a.w.

Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.

Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun pada hujung malam. Ini kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat-ingat akan niatnya.

Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat.

Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.

Jika orang yang berhutang itu mati menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.

Orang yang mempunyai keyakinan mengenai bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.

Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.

Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk.

Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.

b seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.

Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya. - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat @Harakahdaily.net

Thursday, May 21, 2009

Larangan al-Quran cegah 'selsema babi'

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Setiap larangan Allah SWT terhadap sesuatu perkara, pasti tersimpan hikmah yang tersendiri dan mempunyai sebab yang kuat demi melindungi manusia daripada sesuatu bahaya dan bencana.

Pengharaman memakan daging babi di dalam surah al-Baqarah ayat 172, mempunyai kaitan rapat dengan jangkitan 'selsema babi' yang melanda dunia yang kini begitu mengancam nyawa manusia dan bukan pertama kali malah telah berlaku dalam sejarah yang sewajarnya di ambil iktibar atas setiap yang di perintah dan dilarang oleh Allah SWT selama ini kepada manusia.

Kata Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah bahawa Allah SWT melarang memakan babi itu kerana tuhan lebih arif tentang wabak dan penyakit yang ada pada babi yang dicipta-NYa termasuk kemampuan manusia untuk menerima sesuatu makanan yang layak untuk tubuh badannya.

"Dia yang ciptakan manusia dan babi, dia jugalah yang tahu segala baik buruknya sesuatu. Oleh itu kita perlu taat, kerana setiap larangan Allah pasti bersebab yang kuat,

"Bahkan dalam al-Quran menyebut dalam permulaan surah Baqarah, ayat 172 itu dengan kalimah 'wahai manusia' bermaksud ayat ini tidak semata-mata dituju kepada orang Islam sahaja tetapi semua manusia termasuk orang bukan Islam yang jika mengikuti larangan ini, akan dapat juga mencegah daripada terkena wabak ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliahnya dalam rancangan Halaqah terbitan TV9 malam semalam yang bertajuk "Selsema Babi" bersama ahli perubatan, pendakwah dan penulis buku Dr Danial Zainal Abidin yang dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof.

Dalam pada itu, Dr Danial menjelaskan hasil kajian bahawa babi berupaya menerima aneka jenis virus di dalam tubuh badannya sekalgus boleh menukarkan virus menjadi lebih merbahaya sehingga boleh membunuh manusia.

"Babi boleh memakan apa saja dan menerima semua jenis virus. Kemudia menukarkan virus yang ada padanya kepada virus yang lebih merbahaya seperti selsema babi. Babi boleh menyebabkan manusia mendapat lenih 25 jenis penyakit," katanya.

Malah kata Dr Danial 'swine flu' atau selsema babi ini pernah melanda dunia pada tahun 1918 yang turut dikenali sebagai "Spanish Flu".

"Dalam journal yang saya baca, ada yang mengatakan telah membunuh 20 juta manusia dan ada yang kata 40 juta manusia. Dan wabak yang melanda dunia hari ini sama dengan Spanish Flu pada tahun 1918," katanya

Beliau turut mengemukakan hasil kajian barat, bahawa terdapat nasihat daripada pakar melarang memakan babi kerana membawa virus dan penyakit.

Babi katanya walaupun dimasak berkali-kali, terdapat sejenis kuman yang tidak mati yang 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa bahaya.

"Dalam Dinasti Ting, ada seorang tabib terkenal juga melarang orang Cina memakan babi. Ini kitab kuno orang Cina sudah ada larang tersebut dan memberitahu tentang bahayanya," kata Dr Danial lagi.

Dalam kesimpulan diskusi rancangan agama itu, Farid Ravi menjelaskan bahawa doa adalah merupakan senjata paling ampuh untuk mengelak manusia daripada terkena jangkitan ini kerana ianya merbak secara luas dan tanpa sempadan.

"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Itu kuasa Allah. Penyakit yang ada di Mexico beribu-ribu batu sudah sampi ke negara jiran Thailand. Begitu cepat ia merebak.

"Kita mestilah berdoa banyak kerana itu antara senjata kita kerana kita tak mampu kawal semua. Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada. Semua dengan izin Allah semata-mata," katanya.

Sementara itu Dr Danial pula memberi berapa panduan untuk mengelak berlakunya jangkitan tersebut antaranya seperti yang dianjurkan oleh agama iaitu sentiasa membasuh tangan.

"WHO mengeluarkan panduan, supaya sentiasa membasuh tangan. Bagi kita ini bukan sesuatu yang baru, malah kita sentiasa berwuduk untuk solat dan mambasuh tangan sebelum makan,"katanya yang turut menyarankan agar mengikuti saranan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu bersin.

Ketika bersin, Nabi menutup tangan dan adakalanya menggunakan kain dan ini seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.

"Sebenarnya setiap perkara yang melanda, di satu segi ianya merupakan bahaya tetapi ianya juga peluang kita untuk berdakwah, menceritakan kuasa Allah dan kebenaran al-Quran.

"Ekonomi global jatuh, ketika itu baru dunia sedar ekonomi berasaskan Islam, sangat cantik dan baik maka begitu jugalah dengan kes wabak ini, yang membuatkan dunia akan mengkaji larangan Allah SWT dalam al-Quran," katanya. - azm _
p/s: Indah hidup kerana Allah, Hidup selamat bersama Islam.. ~

Wednesday, May 20, 2009

Warkah buat kaum hawa..


Pakaian Remaja:Di mana silapnya??..



Bismillah..

"Pakaian Remaja?" jika kita dengar atau baca perkataan tersebut, secara automatik kita akan terbayang cara berpakaian remaja kita sekarang terutama pakaian remaja perempuan. Jenis pakaian yang paling awal tergambar di minda kita adalah pakaian mereka yang seksi, ketat, terlondeh sana sini dan dedah sana sini. Tidak dinafikan pakaian demikian juga dikenakan oleh belia dan orang dewasa, namun tumpuan kita kini adalah kepada golongan remaja yang bakal menerajui negara.

Cara berpakaian juga mencerminkan akhlak, jadi ia amat penting untuk dibincangkan bagi menjaga akhlak remaja kita. Di dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 tafsirnya :



"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi."

Dari ayat di atas tadi, jelas pada kita bahawa pakaian sebilangan remaja kita kini bertentangan dengan suruhan dan perintah Allah. Namun, mereka tidak menghiraukan yang demikian asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini. Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H', HALAL TAPI HARAM. Ini amat ketara jika kita perhatikan sekeliling kita, ramai juga remaja kita yang bertudung.

Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat, namun jika diperhatikan ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor di kalangan remaja yang bertudung. Suatu ketika dulu, pakaian demikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah pakaian yang dialu-alukan. Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak 'bersangkutan' dan 'berampaian' di gedung-gedung perniagaan di negara kita ini.

Pelbagai fesyen baru tumbuh bagai cendawan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja. Jika kita kupas '2H' memang banyak pengertiannya. Namun satu sahaja lagi yang akan kita perkatakan di sini, pakaian tradisi kita yang telah dieksploitasikan. Baju kurang misalnya, pakaian rasmi negara kita yang begitu sopan dipandang mata, namun yang menyedihkan kainnya telah dibelah sehingga menampakkan betis ketika si pemakai melangkah.

Trend 'punk', 'funky', 'rappers', 'gengster', 'skinhead', 'grunge' dan sebagainya juga mempunyai cara pemakaian mereka yang tersendiri. Trend demikian bukan hanya di kalangan kaum lelaki malah kaum perempuan. Walaupun pakaian remaja lelaki tidak begitu menimbulkan masalah dalam mendedahkan aurat, namun ia tidak sopan malah menjatuhkan maruah budaya negara kita. Ini kerana pakaian tersebut melambangkan kelemahan pegangan remaja kita terhadap agama dan budaya bangsa.

Bangsa asing mentertawakan akan kebodohan dan kelemahan remaja kita kerana dengan mudah mereka membeli dan mempengaruhi minda remaja kita. Sebilangan dari remaja kita juga, 'lupa' atau 'tidak tahu' akan jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya, sungguh kasihan. Golongan seperti ini adalah dilaknat oleh Allah. Ini jelas dinyatakan dalam hadis Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Dengan sedikit contoh pakaian di atas, jelas pada kita bahawa cara berpakaian sebahagian remaja kita bertentangan dengan cara pakaian budaya Melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita. Para remaja begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno dan berfikiran sempit.

Islam memang menggalakkan kita untuk terus memajukan diri dan bukanlah menjadi kesalahan jika kita mengikut negara-negara Barat tersebut selagi ia tidak bertentangan dengan tuntutan Islam yang suci. Namun dalam hal pakaian, tidak sesuai untuk kita mengikut mereka, ini kerana pakaian mereka yang jelas bertentangan dengan Islam dan tidak sesuai dengan cara hidup negara kita yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja (MIB). Sebagai remaja Melayu Muslim, kita tidak perlu mengikut budaya asing dalam cara berpakaian.

Pakaian kita sudah cukup sempurna dan sopan dipandang. Berbaju kurung bagi kaum perempuan, manakala berbaju 'MIB' dan Cara Melayu bagi lelaki. Namun tidak semua pakaian tradisi tidak sesuai untuk agama Islam. Jika kita lihat pakaian tradisi Melayu, baju kebaya zaman dahulu contohnya, ketat dan antaranya dibuat dari kain kasa sehingga menampakkan kulit si pemakainya. Pun begitu, pakaian tersebut telah diperbaiki dengan rekaan pakaian kebaya labuh. Jadi kita bolehlah mengenakan pakaian tersebut.

Di sini tidak bermaksud agar remaja kita sentiasa mengenakan pakaian demikian, remaja kita boleh juga memakai mana-mana pakaian yang bersesuaian dengan situasi dan tempat. Bersukan contohnya, lelaki hendaklah memakai pakaian sukan dan berseluar panjang, manakala perempuan bertudung, berseluar panjang dan berbaju lengan panjang. Begitu juga ketika berjalan bersiar-siar dan makan angin. Walaupun tanpa memakai baju kurung, MIB atau Cara Melayu, remaja kita boleh juga memakai kemeja dan 'blaus' berlengan panjang, labuh dan tidak menampakkan kulit serta bertudung bagi kaum hawa.

Sebenarnya, tiada budaya yang tertentu yang mesti diikut dalam berpakaian. Kita boleh mengikut budaya kita sendiri atau budaya asing seperti budaya Arab dengan memakai jubah atau budaya Cina dan sebagainya selagi ia sopan dan memenuhi garis pandu yang ditetapkan Islam. Remaja itu sendiri yang tahu pakaian yang sesuai dengan selera mereka. Tepuk dada tanya selera! Paling penting hukum Islam jangan dipermainkan. (iLuvislam.com)

Tuesday, May 19, 2009

PAS tidak akan goyah walau demokrasi lumpuh !



KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengulangi dakwaan bahawa Barisan Nasional lah punca kepada krisis politik di Perak berlanjutan.

Semasa mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa pembangkang punca kepada krisis itu, Presiden PAS menyifatkan "Bak kata pepatah Arab dia memukul saya, dia yang menangis,"

"Dia yang zalimi saya dia yang mengadu" sambung Presiden PAS meneruskan ulasannya ketika ditemui Harakah pada 18 Mei lalu di pejabatnya dekat sini.

Beliau juga mempersoalkan pihak mana yang terlebih dahulu menimbulkan kekecohan sehingga rampasan kuasa berlaku di Perak.

"Siapa yang menimbulkan kekecohan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak?.Semua tahu BN melakukan rasuah politik dan rasuah," katanya.

BN juga kata Tuan Guru Abdul Hadi mengambil langkah melantik Menteri Besarnya dan memecat MB yang sah (Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin) tanpa tanpa mengikut prosedur termasuk melalui sidang dewan atau mengikut perlembagaan.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menyatakan tindakan BN itu membelakangi proses demokrasi yang baik.

Beliau juga berpendirian seandainya tidak berlaku pembubaran Dun, negara menuju ke arah melumpuhkan demokrasi.
"Kita beri amaran, perjuangan PAS tidak akan luntur walaupun demokrasi dilumpuhkan," katanya

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Pakatan Rakyat mahu Dun Perak dibubarkan dan hak memilih kerajaan yang sah perlu diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Pakatan Rakyat menghormati Istana tetapi yang membuat keputusan bukan Istana, bukan hakim tetapi rakyat.

"Di Perak kita yakin akan menang lebih besar kerana (rakyat) mahukan perubahan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman menegaskan sudah tiba masanya rakyat Perak diberi peluang menggunakan hak mereka bagi menentukan kerajaan pilihan mereka.

Ujar Abu Talib, perkara itu adalah selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan hanya kerajaan yang stabil akan dapat memastikan hak kepada keamanan dan pembangunan.

Insiden yang berlaku semasa sidang Dun Perak 7 Mei lalu, dimana polis dan kakitangan awam bertindak bersama kerajaan yang memperoleh kuasa dengan keadaan yang kontroversi membelakangi prinsip hak asasi, katanya.

Mereka yang bertugas dalam polis dan pentadbiran mesti tetap setia kepada kepentingan awam dan menghormati hak asasi manusia, katanya.

"Usul memecat Speaker Dewan yang sah dan pengusiran beliau dari dewan serta tindakan polis menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ahli masyarakat keseluruhannya.

"Seterusnya menimbulkan persoalan sama ada kepentingan politik mengatasi kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan pada 18 Mei kepada media.

Menurutnya, Malaysia adalah negara demokratik yang berpegang kepada hak asasi manusia dan sistem perundangan adil.

Namun, kecelaruan yang berlaku pasti meninggalkan titik hitam dalam usaha kita mempromosi prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, katanya kerajaan diharap akan dapat bertolak ansur dan menghargai demonstrasi awam secara aman berbanding polisi dan tindakan yang dianggap kurang popular. _

Abu Sulaiman al Utaibi (Taliban) - Mengapa kita berjihad?



Mengapa kita berjihad? (1)

Mengapa kita berjihad? (2)

Another asobiyyah (indian) based party..


Another asobiyyah (indian) based party..

Monday, May 18, 2009

Takutkan celaan manusia?..


Kebanyakan manusia menjadi binasa kerana takutkan celaan dan sukkan pujian seorang manusia. Oleh sebab itu, gerak geri mereka seperti dikawal supaya menepati semua kemahuan atau citarasa manusia lainnya kerana mengharapkan pujian dan takutkan celaan. Hal ini sebenarnya termasuk dalam hal-hal yang membinasakan dan perlu ditangani segera.

Cara merawatnya adalah dengan melihat kepada sifat keistimewaan yang menjadi bahan pujian itu. Sekiranya ia benar-benar terdapat pada diri kamu, maka ia tidak terkeluar dari dua keadaan itu samada sifat tersebut sememangnya sifat tersebut patut disukai seperti ilmu dan wara’ ataupun perkara yang tidak sepatutnya disukai.

Dalam keadaan pertama – perkara yang sememangnya patut disukai-, cara merawatnya ialah dengan berwaspada dengan su’ul khatimh (kesudahan yang buruk). Sikap berwaspada dan menaruh perasaan bimbang terhadapnya akan menjadikannya tidak terlalu gembira dengan puji-pujian. Sekiranya kamu merasa gembira dengan memiliki sifat istimewa itu kerana gembira kerana mengharapkan husnul khatimah (kesudahan yang baik), kegembiraan itu hendaklah atas dasar mensyukuri limpah kurnia Allah s.w.t yang telah memberikan kepadamu ilmu dan taqwa, bukannya kerana pujian manusia.

Manakala keadaan yang kedua iaitu dipuji kerana pangkat dan hartanya, perasaan gembira dengannya adalah seperti merasa gembira dengan tumbuh-tumbuhan di bumi yang lama selepas itu akan mati kekeringan. Hanya orang yang cetek akalnya yang merasa gembira atau seronok dengan perkara tersebut. Sekiranya sifat yang menjadi bahan pujian tersebut tidak ada pada kamu, pasti dia dianggap gila jika kamu merasa seronok dengan pujian tersebut.

Kamu tidak sepatutnya merasa gembira dengan pujian bahkan sepatutnya merasa gusar dan tidak selesa sebagaimana yang telah dilakukan oleh ulama’ salaf terdahulu. Di mana mereka bukan sekadar benci dengan puji-pujian bahkan memarahi orang yang memuji.

Mengatasi masalah takut kepada celaan manusia dapat difahami secara spontan daripada cara merawat penyakit sukakan pujian kerana ia adalah sebaliknya. Secara ringkasnya, orang yang mencemuh kamu itu sama ada ia benar dan bertujuan menasihati kamu atau sebaliknya.

Jika dia benar, kamu sepatutnya merasa terhutang budi kepadanya dan janganlah marah kerana dia telah menjelaskan segala kekurangan diri kamu (untuk diperbaiki). Kalau dia tidak bertujuan untuk menasihati, ketahuilah bahawa dia sebenarnya telah melakukan jenayah terhadap agamanya sendiri dan kamu pula mendapat manfaat daripada kata-katanya itu. Hal ini kerana dia telah memberitahu suatu perkara yang tidak pernah kamu ketahui sebelum ini dan mengingatkan kamu akan kesalahan-kesalahan atau dosa yang mungkin telah kamu lupakan.

Sunday, May 10, 2009

'Kesabaran PAS ada batasnya' - Presiden PAS

MARANG, 11 Mei (Hrkh)- Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi amaran beliau, kesabaran PAS atas apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional ada batasnya.

Beliau yang berucap dalam majlis penerangan berkaitan isu Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di masjid Rusila, dekat sini, baru-baru ini mengulangi amaran yang beliau keluarkan dalam sidang media di Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, pada 8 Mei, Jumaat lalu.

Beliau berkata tindakan kerajaan menggunakan bahasa Inggeris dalam pegajaran dan pembelajaran sains dan matematik membawa kepada kehancuran bangsa.

"Ini menipu, menipu bangsa sendiri, pejuang-pejuang bahasa dan sasterawan negara menentang dan sanggup menyerahkan semula gelaran (sasterawan negara).

"kerana menghancurkan bahasa dia sendiri, bahasa jiwa bangsa, bangsa yang menghilangkan bahasanya (adalah) bangsa yang tidak ada jiwa," katanya yang dipetik daripada laman web peribadi beliau.

Katanya apabila sesuatu bangsa itu tidak ada jiwa, ia akan mengikut telunjuk dan kehendak orang lain.

"Kita mempunyai satu tanggungjawab dan kewajipan yang besar, apa yang berlaku di (negeri) Perak ini menjadi pengajaran, Umno ini tidak ada adab, tidak ada akhlak, dan tidak ada.

"Kelmarin orang surat khabar tanya saya, supaya saya buat ulasan dan jawapan berhubung apa yang berlaku di Perak, saya buat, saya menyatakan bahawa PAS boleh sabar tetapi sabar PAS ada sempadan,ada batas!"jelasnya.

Katanya PAS tidak akan tunduk kepada penipuan-penipuan Umno dan BN dan meminta semua ahli PAS menunggu arahan yang akan dikeluarkan oleh pimpinan.

Justeru, katanya PAS adalah parti yang berlandaskan Islam yang akan memimpin rakyat dengan Islam.

"Kita (PAS) bangkit diatas nama Islam, dan PAS akan memimpin rakyat dengan Islam, kalau PAS pimpin rakyat dengan Islam,

"Kita akan lalu, 'membujur lalu melintang patah', akan tiba masanya,"tegasnya.

Katanya PAS akan mengajar Umno yang jahil dan yang merosakkan bangsa dan umatnya sendiri. - azm _